Pada January 2007 lalu saya berpeluang kembali ke malaysia untuk bercuti panjang. Itu pun setelah habis rakan-rakan English, German dan French balik bercuti ke negeri masing-masing sempena Christmas dan New Year.
Cuti selama 22 hari adalah suatu tempoh yang lama bagi saya kerana sepanjang kareer saya di dalam Railway Industry ini merupakan cuti terpanjang yang pernah saya perolehi.
Sememangnya banyak rancangan yang saya buat demi memenuhi cuti saya yang panjang itu. Selain untuk memenuhi keperluan peribadi, saya juga memperuntukan masa untuk bersama abah dan emak. Maklumlah mereka tak terdaya nak berjalan jauh sampai ke Taiwan. Lagipun inilah masa nya untuk bersama keluarga semenjak saya meninggalkan Malaysia pada bulan jun 2006.
Oleh kerana Abah dan emak tidak berpeluang untuk sampai ke Taiwan yang mengalami musim sejuk ketika itu (Bulan Januari), saya merancang untuk pergi bercuti ke Cameron Highland membawa mereka makan angin.
Abah dan emak sangat gembira kerana mereka pun dah lama tak makan angin. Melalui internet saya ke site Cameron Highland untuk mencari dan menempah hotel. Akhirnya saya menempah hotel Rose Pasadena yang terletak di Lot 48, Jalan Circular,39000 Tanah Rata, Cameron Highlands . Caj dikenakan bagi satu bilik ialah RM240 semalam.
Setelah tiba di Malaysia pada 20.01.2007 (awal Muharram), pada hari sabtu 27.01.07 minggu berikutnya kami sekeluarga bersama Abah dan emak bertolak ke Cameron Highland. Cuaca agak mendung dan dalam perjalanan tiada hujan.
Kami menuju ke Simpang Pulai sebagai pintu masuk ke Cameron Highland. Tambahan pula sememangnya diketahui umum waktu musim hujan jalan lama Tapah ke Cameron Highland adakala berlakunya tanah runtuh. Sebagai jalan selamat lagi cepat, jalan baru ke melalui simpang Pulai menjadi keutamaan para pelancong ke Cameron Highland.


Setiba di Cameron Highland kami terus ke hotel tetapi terpaksa menunggu lagi dua jam kerana waktu Check in ialah pada jam 0100 tgh sedangkan waktu itu baru jam 1100 pagi. Apa lagi perut terasa lapar dan kami pun pergi ke Tanah Rata untuk makan tengahari dahulu.
Suasana tidak berapa sesak, maklumlah percutian kami ini bukannya dalam musim cuti sekolah. Oleh itu suasana agak terkawal dan tidak sibuk. Namun agak ramai juga membanjiri kawasan Kia Farm, Strawberry Farm sambil membeli cenderahati, sayuran dan buah-buahan.
Selepas jam 0100 tgh kami Check In di Hotel. Kami menginap di tingkat 3 hotel. Jarak antara bilik kami selang dua pintu antara bilik saya dan bilik Abah.
Abah kelihatan ceria waktu itu. Beliau bersiap-siap menukar baju untuk sembahyang dan berehat.
Dalam waktu menunggu waktu ke Pasar Malam, saya anak beranak mengelilinggi kawasan Hotel dan bergambar di taman mini Hotel dibahagian belakang bilik kami. Sungguhpun kecil tetapi susunan pokok bunga menaikkan seri bilik hotel kami.

Aktiviti petang itu kami akan ke Pasar Malam yang terletak di Brinchang. Dalam jam 0530 ptg iaitu selepas minum petang kami menuju ke pasar malam. Disitu terdapat pelbagai hasil Cameron Highland yang dijual termasuk, Sayur-sayuran, buah-buahan seperti limau, strawberry, madu lebah, pasu bunga, pakaian serta makanan.
Adalah serba sedikit buah-buahan yang kami beli serta makanan buat kudapan diwaktu malam nanti.
Selepas itu kami menuju ke Kia Farm untuk melihat-lihat gerai-gerai disana. Disini buah strawberry dijual dengan harga yang lebih murah. Apalagi isteri saya dan emak tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa pek buah strawberry untuk dibawa pulang.

Selepas itu kami pun pulang ke Hotel. Abah seperti biasa akan sibuk melayan cucunya Aina Sofea yang nak itu dan ini.
Keesokan harinya disebelah pagi kami semula ke KIA Farm untuk sambung membeli sayur-sayuran dan buah-buahan. Pulak tu dek kerana geram tengok cili padi india yang rimbun sepokok, saya siap beli 2 pasu. Satu untuk saya dan lagi satu saya sedekahkan pada adik saya yang tinggal di Taman Sri Bintang Kepong. Memang ada betulnya cakap orang...akhirnya pokok cili padi tu memang tak berumur panjang. Selang beberapa hari tiba di tanah rendah ia pun mati.....entahlah apapulak kerenah nya pokok tu. Tetapi pokok periuk kera yang saya beli dengan harga RM20.00 hidup dan subur nampaknya.
Selepas jam 11.00 pagi kami pulang semula ke Hotel untuk berkemas dan meninggalkan hotel pada pukul 1230tgh.
Selepas selesai minum serta membeli seba sedikit teh berperisa strawberry dan sedikit cenderamata, kami pun mula bertolak pulang ke Puchong. Memandangkan cuaca petang tidak hujan, saya mengambil keputusan untuk turun ke Tapah melalui jalan lama.
Dalam perjalanan turun kami singgah di Lata Iskandar. Terdapat beberapa deretan kedai menjual cenderamata selari dengan papan tanda LATA ISKANDAR.
Sangat menyedihkan bagi saya kerana dizaman kanak-kanak saya LATA ISKANDAR menjadi tempat perkelahan yang popular. Tetapi kini ianya tingga kenangan. Yang ada hanyalah papan tanda nya sahaja serta cebisan tinggalan lorong laluan mendaki kebahagian atas air terjun itu.
Pada pendapat saya, Pihak Jabatan Pelancongan dan Kerajaan Negeri sepatutnya memulihkan semula kawasan ini kerana ia masih lagi menjadi tumpuan pelancong walaupun laluan kenderaan lebih selesa melalui jalan Simpang Pulai.


No comments:
Post a Comment